Hakikat Kehambaan
Tangan menyelak helaian demi helaian muka surat Tafsir Fi Zilal Al-Quran Al Karim. Mata terhenti pada Surah Az Zariyat ayat 56. Kalimah suci itu meniti di bibir. Perlahan.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
Nafas ditarik perlahan. Cuba difahami tafsir ayat melalui penulisan Asy Syahid Syed Qutb.
"Nas yang singkat ini mengandungi hakikat yang besar dan mencengkam. Ia termasuk salah satu hakikat semesta terbesar. Sebab, kehidupan manusia di bumi tidak akan stabil tanpa memahami dan meyakini hakikat ini, baik dalam kehidupannya sebagai individu mahupun masyarakat, dan sebagai umat manusia secara keseluruhan dengan peranan dan zaman yang bervariasi."
Betul. Walau ayat ni singkat, tapi sebenarnya, Allah dah meletakkan satu tanggungjawab yang besar kepada hambaNya melalui penurunan ayat ni. Safa membetulkan letak cermin mata pada hidung.
"Nas itu menyingkap berbagai sisi dan sudut konseptual serta tujuan, yang semuanya tercakup oleh hakikat yang besar ini, yang dianggap sebagai dasar di mana kehidupan berdiri. Sisi pertama dari hakikat ini ialah bahawa di sana terdapat tujuan tertentu dari kewujudan jin dan manusia, yang tercermin pada tugas. Sesiapa yang melaksanakan dan menunaikan tugas itu, bererti dia telah merealisasikan tujuan keberadaannya."
Ada tujuan khusus dari penciptaan jin dan manusia. Allah ciptakan sesuatu ciptaan itu bukan saja2. Tapi ada banyak hikmah dan rahsia disebalik penciptaan. Dan tugas tu merupakan satu obligation bagi ditunaikan oleh umat manusia dan jin. Namun, tak berapa ramai yang jelas dengan tujuan penciptaan sebenar. Tapi Allah ni tak lemah. Sekalipun hamba tak sujud, Allah tak rugi apa2. Manusia yang akan rugi. Hakikatnya ramai manusia yang melencong sebab tak dapat dan tak nak cari briefing yang jelas untuk apa tujuan mereka diciptakan. Semuanya lebih suka untuk bersuka ria berbanding menjalankan tugas sebenar hamba.
Safa mengeluh perlahan. Manusia dan lupa berpisah tiada. Matanya fokus kembali pada pembacaan yang terhenti.
"Sesiapa yang mengabaikan atau membangkang, bererti dia menghancurkan tujuan kewujudannya. Sehingga jadilah dia tidak berfungsi, jadilah hidupnya itu tanpa tujuan, dan tidak memiliki makna utama yang menjadi sumber nilainya yang pertama. Jika demikian, bererti dia telah melepaskan diri dari prinsip yang telah melahirkannya ke alam nyata. Lalu, dia berakhir dalam sisa-sisa yang mutlak, yang melepaskannya dari hukum alam, padahal hukum inilah yang mengikat, memelihara dan menjamin keberadaannya."
Sesiapa yang menidakkan Islam pada dirinya, maka dia telah meninggalkan hakikat sebenar seorang hamba, iaitu untuk sujud hanya kepada Allah. Kenapa perlu menidakkan keislaman diri, sedangkan maksud Islam itu sendiri adalah sejahtera? Kenapa perlu lari dari hakikat sebagai seorang hamba sedangkan diri sendiri tak punya apa-apa kuasa? Maka hidupnya berakhir dengan sia-sia. Tanpa ibadah. Tanpa akidah. Tanpa mengagungkan Allah. Jadi dia daripada golongan Riddah iaitu yang keluar daripada agama Islam apabila dia tidak meyakini bahawa Allah itu wujud. Pada diri manusia itu telah dijadikan sebagai sebaik ciptaan. Dan manusia hanya memandang enteng tujuan kehidupan.
Tujuan asal kehidupan itu apa? Kemana tujuan selepas mati? Jamin ke dengan syurga? Syukur ke kita dengan nikmat yang dah kita perolehi?
Tepuk dada. Tanya Iman. Tanya hati. Tanya diri.
لا حول ولا قوة الا بالله
Tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah.
Dan hanya Dia lah yang Maha Berkuasa. Maha Kaya. Pemilik sekalian alam. KepadaMu kami berserah dan kepadaMu kami kembali.
بسم الله توكلت على الله
Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah.
"Safa, tak tidur lagi ke?"
Kepala ditoleh memandang ke pintu bilik. Tersentak dengan suara yang menegur.
"Kejap mama. Baru nak tidur. Dah habis baca ni."
"Tidur awal sikit. Esok kan nak bangun awal."
"Ok mama. Mama tidur dulu. Selamat malam. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Selamat malam."
Ibunya dah hilang di balik muka pintu. Safa menutup Tafsir Fi Zilal Al-Quran Al Karim sebelum mencium naskhah suci itu. Bibir mengukir senyum segaris. Aku berserah kepadaMu Tuhanku. Mudahkan semua urusan hidupku.
ربي يسر ولا تعسر
بسم الله توكلت على الله
Ulasan
Catat Ulasan